Tuesday, November 20, 2012


Sejak diperkenalkan, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) telah menimbulkan pelbagai polemik, masalah, rungutan dan sebagainya. Yang paling ketara ialah kelemahan persediaan prasarana Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam melaksanakannya. Akibatnya, timbullah pelbagai rungutan daripada para guru yang turut merasai bebannya.
Oleh itu, PAS sebagai parti yang perihatin masalah rakyat. 

Segala aduan ini diambil kira dan telah ketengahkan di dalam Dewan Rakyat agar diberi perhatian yang sewajarnya.


Dalam sidang parlimen pada 7 November yang lalu, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Ahli Parlimen Bukit Gantang telah mengemukakan pertanyaan lisan tentang isu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Beliau meminta Menteri Pelajaran menyatakan kenapa PBS diperkenalkan di sekolah-sekolah kerajaan, sedangkan banyak sistem operasi on-line tidak berkesan dan lambat. 


Beliau juga bertanya mengapa Kementerian Pelajaran tidak mahu memberi elaun tambahan untuk guru-guru yang terpaksa memasukkan (key-in) markah dan maklumat di rumah, yang melibatkan masa bersama keluarga dan terpaksa membayar bil elektrik yang tinggi serta para guru terpaksa melanggan broadband untuk membuat kerja sekolah.


Timbalan Menteri Pelajaran II, Dr Mohd Puad Zarkashi menjelaskan bahawa buat masa ini, Kementerian Pelajaran Malaysia belum bercadang untuk menyediakan elaun khas kepada guru-guru dalam melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).


Menurut beliau lagi, KPM mengambil maklum kesulitan yang dihadapi oleh guru dalam mengakses Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) online sebelum ini. Justeru, KPM telah menyediakan hosting khas yang berasingan bagi SPPBS dan Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM). Proses migrasi hosting bagi sistem tersebut telah selesai dilaksanakan pada akhir September 2012 dan sistem tersebut pada masa ini adalah lebih stabil dan boleh diakses.


Dr Puad juga memberitahu bahawa, Kementerian sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan capaian internet di semua sekolah di seluruh negara. KPM sedang memperluaskan perkhidmatan capaian internet melalui Projek 1BistariNet secara berperingkat-peringkat sehingga Mac 2013 bagi menggantikan SchoolNet di semua sekolah dengan kelajuan antara 4Mbps hingga 20Mbps.


Dalam hal ini, jelas bahawa KPM tidak bersedia sepenuhnya dari segi perkhidmatan on-line, sedangkan sepatutnya sistem ini telah mantap sebelum sistem ini dilaksanakan. Kelemahan ini boleh merencatkan kelancaran kerja  para guru. Di samping itu, pelbagai persoalan lain timbul ialah tentang kesediaan para guru itu. Mereka terpaksa menyediakan peralatan komputer dan internet sendiri di rumah. Pada masa yang sama, sememangnya diketahui umum bahawa kemudahan internet jalur lebar khususnya dikawasan luar bandar amat ketinggalan.


Para guru bukan sahaja terpaksa menanggung bebanan tugas yang semakin bertambah malah terpaksa menanggung peningkatan kos bil elektrik dan internet, membeli peraalatan komputer dan mengorbankan masa tambahan untuk kerja-kerja pengkeranian.

Berdasarkan jawapan Menteri Pelajaran ini, para guru diharap mendapat mesej yang jelas bahawa KPM belum bercadang atau mungkin juga tidak bercadang untuk memberi elaun tambahan, walau bebanan tugas dan kos bertambah.

Para guru juga terpaksalah bersabar dengan dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan Umno-BN ini kerana proses penambahbaikan capaian internet akan selesai sepenuhnya pada tahun depan. 


Dalam hal ini, Pakatan Rakyat dalam Buku jingganya berjanji akan memberi imbuhan RM500 sebulan kepada setiap guru jika memerintah. Tawaran ini dibuat setelah mengambil kira peningkatan kos, bebanan tugas serta tanggungjawab guru yang amat besar, berbanding kerjaya lain.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/14692-tiada-elaun-untuk-guru-laksana-pbs

0 Comments:

Post a Comment