Sunday, November 4, 2012


Guru j-QAF dianiaya

j-QAF yang dizalimi,
Keputusan perpindahan guru yang diumumkan pada 3 november 2012 menunjukkan berlakunya sikap tidak adil dan zalim Kementerian Pelajaran Malaysia terhadap guru j-QAF yang telah lama berkhidmat di sabah dan Sarawak. Keputusan di luar dugaan bagi kami pasangan suami isteri guru j-QAF ambilan sulung tahun 2005, iaitu kami menjangkakan kami akan dipindahkan ke semenanjung setelah lapan tahun berkhidmat di Sarawak. Apatah lagi guru j-QAF yang baru telah tiba bagi menggantikan tempat kami.

Malangnya, perkara tersebut tidak berlaku malah sebaliknya iaitu guru j-QAF yang bujang dan baru berkhidmat di Sarawak dapat bertukar kembali ke Semenanjung.

Kami tidak pasti apakah yang pegawai di bahagian pertukaran kementerian pelajaran fikirkan sehinggakan sanggup melakukan tindakan tidak masuk akal dengan meluluskan perpindahan tersebut sedangkan kami yang berkeluarga ini disekat. Apakah syarat dan kriteria yang mereka lihat? Apakah pasangan suami isteri guru j-QAF yang berkeluarga serta mempunya anak seperti kami disisihkan dan dinafikan hak berpindah sedangkan dari segi kesusahan dan bebanan golongan kami yang lebih merasainya? Kami yang mempunya anak-anak sangat terbeban berada lama di bumi Sarawak ini.

Masalah dan bebanan ini jauh lebih berat berbanding masalah guru j-QAF yang bujang dan baru pula berkhidmat berbanding kami. Tidak kasihankah mereka melihat kami mengendong anak ke hulu ke hilir menaiki bot, bas dan kapal terbang setiap kali pulang ke kampung? Apatah lagi kesulitan membesarkan anak-anak di tempat orang tanpa bantuan dari keluarga? Kekadang kami terpaksa memendam kesedihan kerana tidak mampu pulang menatap wajah insan tersayang yang meninggal dunia kerana kos penerbangan kami sekeluarga sangat membebankan.

Guru yang bujang bila-bila masa dapat terbang pulang ke kampung dengan selesa. Banyak perbezaan bebanan guru yang berkeluarga berbanding guru yang bujang tetapi apa yang lebih dipersoalkan ialah kenapa tempoh berkhidmat kami tidak diambil kira.

Dulu kementerian memberi alasan kerana tiada pengganti, sebab itu kami tidak dilepaskan. Tetapi sekarang apabila sudah ada pengganti kami masih disekat malah golongan yang lain pula dilepaskan.

Kami memohon belas kasihan kementerian pelajaran menimbang dan meneliti sebaiknya keputusan yang mereka buat kerana sekiranya berlaku ketidakadilan seperti ini boleh menjejaskan semua pihak terutama kepada guru dan murid itu sendiri.  Sedarlah para pegawai yang membuat keputusan ini, amalan anda yang tidak adil ini tetap dicatat oleh malaikat. Berlaku adil dan laksanakan amanah tanpa mengira kepentingan diri.

Jika mereka meluluskan perpindahan saudara mara, sahabat, kenalan mereka dengan menggunakan jawatan mereka, ketahuilah mereka telah menafikan hak orang lain. Kementerian Pelajaran perlu memandang serius perkara ini sebelum melaungkan pelan pendidikan bertaraf dunia itu.


Lagi keluhan guru teraniaya

Guru Kecewa,
Keputusan pertukaran guru sesi  2013 baru sahaja diketahui. Namun seperti tahun-tahun  yang lepas, keputusannya masih lagi mengecewakan. Malah keputusan kali ini lebih teruk kerana amat sedikit guru yang dapat bertukar (mungkin hanya pemohon yang ada orang dalam sahaja yang bernasib baik).

Saya telah berkhidmat selama lima tahun (di pedalaman P3, Sarawak), dan mengikut pengetahuan saya berdasarkan garis panduan,  guru yang berkhidmat di pedalaman selama tiga tahun sudah layak untuk dipertimbangkan.

Tetapi keputusan ini amat menyedihkan. Saya terpaksa berjauhan dengan isteri dan dua orang anak. Mereka terpaksa membesar tanpa penjagaan dan kasih sayang saya. Hanya isteri tempat mereka bermanja. Masalah jarak dan masa membuatkan kami berjumpa hanya dua atau tiga kali dalam setahun (itupun hanya seminggu atau dua, kecuali cuti hujung tahun).

Saya sering bertanya apakah yang pihak Kementerian langsung tidak mempertimbangkan permohonan kami? Atau tidak pernah melihat pun permohonan online kami? Apakah kriteria kami tidak sekukuh yang di inginkan. Bukan itu sahaja, ada guru yang telah berkeluarga dan berkhidmat lebih daripada lima tahun  turut tidak dapat bertukar.

Tidakkah mereka terfikir betapa susahnya seseorang yang telah berkahwin tetapi hidup tanpa suami atau isteri di sisi. Isteri yang mengandung pun terpaksa menghadapi saat sukar seorang diri hinggalah saat membesarkan anak-anak. Sebagai seorang suami, saya amat terkilan dan rasa bersalah kerana  membiarkan isteri berkeseorangan menghadapi semua itu.

Namun kerana terpaksa berjauhan dan berkhidmat saya terpaksa akur. Kadangkala secara jujur, keikhlasan menabur bakti kepada anak bangsa hampir pudar kerana kehilangan semangat hidup bersama membina keluarga. Anak-anak sendiri terabai tanpa ayah atau bapa.     

Oleh itu, di sini saya ingin mengesyorkan beberapa langkah untuk Kementerian Pelajaran pertimbangkan bagi menyelesaikan masalah pertukaran guru yang tidak pernah selesai ini.
1.Membuat sistem giliran iaitu guru yang ditugaskan di pedalaman atau Sabah dan Sarawak dihadkan dalam tempoh tertentu. Contohnya selama tiga atau paling lama empat tahun. Apabila habis tempoh tersebut, maka secara automatik guru itu ditukarkan ke tempat yang dianggap memuaskan hati pemohon (kecuali guru yang tidak mahu berpindah). Tempat guru tersebut hendaklah diganti dengan guru yang baharu. Sistem giliran ini lebih adil untuk memberi pengalaman kepada setiap guru merasai susah senang berkhidmat di pedalaman atau negeri orang.

2.Permohonan hendaklah dipertimbangkan bagi mereka yang sudah berkahwin dan mempunyai anak. Tidak hanya menunggu pemohon yang alasan berpenyakit kronik (yang hampir hendak mati atau cacat kekal) atau laporan keselamatan (hendak dibunuh atau sudah terbunuh baru dapat pindah). Dibimbangkan rezeki kita tidak diberkati Allah kerana kerja kita akan jadi tidak ikhlas, malas, tidak produktif, makan gaji buta, tertekan malah boleh jadi gila.

3.Keutamaan diberi kepada guru-guru yang berkhidmat di pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak. Hal ini kerana jarak jauh dan kemudahan yang amat dhaif. Ada antara guru-guru tidak sempat melihat dan menatap wajah-wajah kesayangan mereka buat kali terakhir (kerana meninggal dunia) disebabkan masalah jarak dan kesusahan ini.

4.Layanan yang lebih berbudi bahasa dan profesional. Setiap kali saya tidak dapat bertukar saya akan membuat rayuan di Putrajaya. Namun teramat kecewa kerana layanan yang diberikan amat tidak profesional. Malah lebih menyedihkan alasan sama akan diberi iaitu ”Bos sedang mesyuarat”, atau kata-kata sinis seperti: “siapa suruh pilih jadi guru”, “Sila bawa emak/ bapak/ anak/ isteri/ suami/ awak yang sakit tu”, “Alah orang lain pun kahwin dan ada anak juga”, “Saya pun pernah jadi guru juga tapi ok je”.

Akhir sekali saya amat mengharapkan isu pertukaran guru ini diselesaikan secepat mungkin. Sekiranya pihak kerajaan sudah tidak mampu mengurus masalah sekecil ini atau memang malas untuk berkerja, kami tiada pilihan selain memberi peluang kepada kerajaan baharu yang lebih adil, prihatin, belas kasihan, bertanggungjawab dan telu

Lagi kemelut pertukaran guru J-Qaf

J-QAF Senior,
Saya dan rakan-rakan ingin mohon bantuan dan pencerahan atas masalah kegagalan kami berpindah ke Semenanjung  setelah lapan tahun berkhidmat di Sarawak. Kami amat kesal dengan birokrasi ini dan juga alasan-alasan yang sering diberikan oleh PPD, JPN & KPM !

Sila perhatikan dan renungkan faktor-faktor permohonan pertukaran kami seperti berikut:

1.Telah tamat tempoh berkhidmat tiga tahun di sekolah asal (perjanjian berkhidmat 36 bulan)

2. Telah berkhidmat lapan tahun di Sarawak.

3. Guru J-QAF 2011 yang sudah tamat latihan, sudah dipostingkan semula kesekolah kami.

4. Guru J-QAF 2012 dalam latihan pun sudah ditempatkan ke sekolah kami.

5. Bilangan guru J-QAF disekolah kami sudah melebihi had / kouta, menyebabkan jadual mengajar individu berkurangan!

6. Ada j-QAF 2005 yang dapat pindah pada Oktober 2012 ini dan ada yang tidak, (macammana tu?).

7. Kami sudah membeli rumah di Semenanjung  dan sudah sedia untuk diduduki, bayaran pinjaman perumahan juga sudah dibuat melalui potongan gaji.

8. J-QAF 2005 yang bujang sudah ramai yang berpindah ke Semenanjung bulan Jun 2012 yang lepas.

Persoalan-persoalan yang mesti dirungkaikan segera bagi mengatasi kemelut pertukaran ini ialah:

1. Apakah alasan atau sebab-sebab yang diperlukan oleh KPM lagi untuk meluluskan permohonan kami?

2. JPN Sarawak mengatakan bahawa mereka sudah meluluskan permohonan pindah J-QAF 2005, 2006 dan 2007! Persoalannya, kenapa tidak dihadkan sokongan pindah itu kepada J-QAF 2005 yg masih terkandas di sini? Disebabkan itu, ada juga J-QAF 2006 dan 2007 yang dapat pindah Oktober 2012 ini, dengan alasan mereka telah berkahwin dan berjauhan dengan suami! Ahkan yang bujang pun sudah pun ada yang dapat bertukar. Apakah alasan kami yang berkahwin dan tinggal bersama di sini  tidak menyokong permohonan pindah kami?

3. Kenapakah tiada penyelarasan di antara PPD, JPN dan KPM (khasnya Bahagian Pengurusan Sekolah Harian dengan JPN bagi menentukan keutamaan dalam meluluskan sesuatu pertukaran)? Masing-masing sering menuding jari di atas kesalahan pihak lain!

4. Berapa tahun lagi kami mesti bertahan dan ‘terkandas’ di Sarawak demi untuk memaksa diri dengan merelakan? Atau paksa rela pertukaran atau perpindahan guru J-QAF batch 2006, 2007 dan seterusnya sekarang ini J-QAF batch 2012 yang berjauhan dengan suami atau isteri untuk berpindah lebih awal daripada kami yang berpasangan tinggal di sini?

Harapan kami terhadap isu ini ialah:

1. Buangkan kerenah birokrasi dalam urusan perpindahan dan  pertukaran guru ini.
2. Binalah satu penyelarasan di antara PPD, JPN dan KPM, agar mereka yang telah lama tinggal di sini dan lebih lama berkhidmat, diberi kelulusan berpindah terlebih dahulu berbanding yang lain. Janganlah abaikan kami yang berpasangan tinggal di sini dalam soal pertukaran dan perpindahan. Kami juga ada hati, perasaan dan kemahuan untuk berpindah, sebab itulah kami tidak terus putus asa mengisi Eg Tukar saban kali dan saban tahun.

3. Buatlah satu sistem penggiliran pertukaran dan perpindahan guru yang betul dan adil untuk menjamin peluang J-QAF lain untuk pulang berkhidmat di kampung halaman sendiri.

Jika alasan Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak (JPNS) yang mengatakan Sarawak kekurangan guru J-QAF, ia tidak lagi boleh diterima pakai kerana keadaan sekarang sudah berbeza. Kebanyakan sekolah sudah menerima guru J-QAF ambilan 2011 yang telah tamat latihan dan juga guru J-QAF pelatih ambilan 2012.

Saya amat berharap berilah perhatian dan keutamaan serta keadilan kepada permohonan kami, agar kami dapat membina kehidupan berkeluarga yang lebih sempurna di kampung halaman kami sendiri, di samping dekat dengan keluarga (ibu, ayah dan adik-beradik yang lain). Jangan sampai tragedi yang menimpa sahabat kami yang telah kematian ayah dan ibunya, barulah beliau dapat berpindah ke Semenanjung, berulang lagi kepada mereka yang lain.

Kami amat berharap masalah dan isu serta kemelut ini akan ditangani dengan segera kerana kami juga adalah rakyat yang menyokong slogan Perdana Menteri  ‘Janji Ditepati’!

Sumber:
http://bm.harakahdaily.net/index.php/letter/14379-lagi-kemelut-pertukaran-guru-j-qaf

http://bm.harakahdaily.net/index.php/letter/14319-guru-j-qaf-dianiaya

http://bm.harakahdaily.net/index.php/letter/14342-lagi-keluhan-guru-teraniaya

0 Comments:

Post a Comment