Saya merupakan guru data sekolah yang bertanggungjawab menyelaraskan data dan maklumat guru di atas talian.
Yang mengecewakan ialah terdapat pelbagai aplikasi yang berbeza-beza dan guru perlu mengisi maklumat yang sama berulang-ulang kali. Contohnya, seseorang guru perlu melaporkan kursus dan seminar yang dihadiri dalam aplikasi eSPLG, e Operasi dan Emis Online.
Tiga aplikasi yang berbeza namun maklumat yang diminta lebih kurang sama sahaja. Di sini saya senaraikan pelbagai macam aplikasi yang diwujudkan oleh KPM untuk diisi oleh guru-guru.
1. Emis Online (Maklumat peribadi pegawai, bilangan murid, kelas dan sekolah untuk statistik dan analisa )
2. E operasi (Untuk kiraan hak perjawatan guru dan pertukaran guru )
3. E pangkat (Untuk kenaikan pangkat )
4. E SPLG (Laporan kursus dan bacaan ilmiah)
5. OPMEN (Operasi Menengah / untuk pengiraan hak guru di sekolah-sekolah))
6. HRMIS (Untuk kegunaan rawatan di klinik atau hospital kerajaan)
Setiap tahun guru-guru perlu menyemak dan mengemaskini maklumat masing-masing iaitu maklumat peribadi, perkhidmatan, gaji, elaun, kursus, sinopsis bacaan buku dan banyak lagi. Yang membebankan ialah sebahagian daripada aplikasi ini hanya boleh diakses untuk tujuan pengemaskinian data oleh guru data sahaja.
Guru data perlu mengisi perkara yang sama berulang-ulang kali dengan capaian internet yang sangat perlahan di sekolah. Memanglah jumlah waktu mengajar bagi seorang guru data ialah separuh daripada guru-guru biasa, namun bagi sekolah yang bilangan gurunya 150 orang ke atas sangat membebankan.
Prosesnya sangat remeh iaitu mencetak maklumat guru dari sistem, menyerahkan kepada setiap guru untuk semakan dan mengemaskini data. Setelah data selesai dikemaskini, guru data perlu mencetak semula untuk setiap orang guru dan staf sokongan bagi tujuan pengesahan data.
Kenapa tidak diwujudkan satu sahaja sistem data yang selaras yang dapat dihubungkan kepada aplikasi lain yang diperlukan oleh unit lain di kementerian? Saya percaya semua guru yang memegang jawatan sebagai guru data sebolehnya ingin melepaskan jawatan ini kerana beban tugas yang melampau dan kami tidak mampu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengajaran dan pembelajaran.
Ini tidak termasuk statistik dan analisa data yang diminta oleh pihak Pejabat Pelajaran dari semasa ke semasa.
Tumpuan kami terhadap P & P sangat terganggu kerana guru-guru sering merujuk dan bertanya hal-hal yang berkaitan dengan ICT, aplikasi di atas talian dan lain-lain perkara diluar bidang tugas seorang guru data.
Sepatutnya seorang pegawai dilantik khas (kerani) disetiap sekolah bagi menjalankan tugas ini. Minat saya hanya untuk mendidik anak-anak di sekolah
dengan sepenuh jiwa dan raga dan memberikan sepenuh tumpuan terhadap mereka.
Saya yakin pihak Pakatan Rakyat akan membela nasib para pendidik apabila berjaya menakluki Putrajaya selepas PRU13 nanti.
Sumber: http://bm.harakahdaily.net/index.php/letter/14645-pengisian-maklumat-atas-talian-membebankan-guru