05 Ogos 2012, Ahad
Oleh SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 4 Ogos – Seramai kira-kira 11,000 guru bagi mengajar
subjek Jawi, al- Quran, Arab dan Fardhu Ain (j-Qaf) masih diperlukan
dalam memastikan semua sekolah rendah di seluruh negara mempunyai
pembelajaran itu.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi
(gambar) berkata,
masalah kekurangan guru itu turut menyukarkan pembelajaran tersebut
diwujudkan di peringkat sekolah menengah pada tahun depan.
Katanya, pembelajaran j-Qaf juga sukar diperluaskan disebabkan
kurangnya guru berijazah untuk mengajar j-Qaf serta masalah permohonan
perjawatan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang masih tidak
diluluskan sehingga kini.
“Oleh itu, kita minta supaya JPA mempercepatkan kelulusan perjawatan
bagi guru j-Qaf yang sudah dimohon Kementerian Pelajaran bagi
membolehkan kekurangan diisi segera.
“Kita memberi tumpuan untuk memenuhi permintaan guru j-Qaf di sekolah
rendah sebelum melaksanakan sepenuhnya di sekolah menengah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis berbuka puasa di Sekolah Rendah Islam Cahaya Ummi, Kampung Batu Muda, di sini hari ini.
Pada majlis itu, Mohd. Puad turut menyampaikan sumbangan kepada 60 anak yatim dan golongan asnaf.
Pelaksanaan j-Qaf di 4,747 sekolah rendah sejak 2005 itu berkesan
apabila 94 peratus murid berjaya menguasai empat kemahiran iaitu Jawi,
al-Quran, bahasa Arab dan fardu ain.
Pada masa ini, kira-kira 13,000 guru j-QAF sedang berkhidmat di lebih 4,700 sekolah rendah di seluruh negara.