Sunday, January 16, 2011

KUALA LUMPUR - Guru-guru untuk program pembelajaran jawi al-Quran, bahasa Arab dan fardu ain (j-Qaf) semakin berkurangan di semua sekolah rendah di Malaysia.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Mohamed Sabri Mohd. Arsad berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenainya.

"Purata biasa untuk tiga kelas ialah seorang guru j-Qaf tetapi di Pahang, contohnya, seorang guru terpaksa mengajar enam kelas berseorangan," jelasnya kepada Kosmo! di sini semalam.



Menurut Mohamed Sabri, kekurangan guru-guru itu membimbangkan kerana matlamat untuk program itu tidak akan tercapai sekiranya jumlah guru yang dibekalkan semakin berkurangan.

"Bayangkan, pada tahun ini hanya 1,500 orang guru j-Qaf ada di seluruh negara sedangkan saya dapat maklumat di Perak sahaja 400 guru diperlukan. Mana cukup dengan jumlah 1,500 orang itu untuk tahun ini?"katanya.

Mohamed Sabri berkata, masalah itu mula berlaku sejak tahun 2009 dan ia semakin berlarutan sehingga kini.

Sejak tahun j-Qaf mula diperkenalkan pada 2004, ia telah diterima baik murid-murid di sekolah dan ia merupakan satu pembelajaran yang bermanfaat tetapi jika perkara ini terus berlarutan program itu akan jadi sia-sia.

Katanya lagi, pihak kesatuan berharap Kementerian Pelajaran mengambil berat soal kekurangan guru itu agar pembelajaran murid-murid tidak terjejas.

Sumber www.kosmo.com.my

0 Comments:

Post a Comment