Sunday, June 13, 2010

ALOR SETAR 12 Jun — Kementerian Pelajaran merancang untuk menambah 10,000 lagi guru bagi program Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (J-Qaf) dalam usaha memperkasakan program itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, penambahan itu amat penting bagi menampung kekurangan guru J-Qaf di seluruh negara, yang kini hanya seramai 14,000 orang.

Katanya, pengambilan tenaga guru J-Qaf juga akan dipermudahkan dari semasa ke semasa tetapi syarat kelayakan mungkin akan diperketat dengan calon lepasan Sijil Menengah Agama (SMA) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan diberi pertimbangan untuk mengikuti pengajian dalam program pendidikan agama di institut pendidikan guru.

"Pada masa sama, kami juga sedang mempertimbangkan beberapa perkara dan melihat kesesuaian masa sebelum membolehkan jawatan guru-guru agama dan J-Qaf diselaraskan mengikut standard terkini,” katanya katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Guru-guru Agama Negeri Kedah, di sini hari ini.

Katanya, perkara itu penting bagi membolehkan program J-Qaf melahirkan lebih ramai pelajar aliran agama yang berkualiti dan berdaya saing selaras dengan pelan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang memberi penekanan kepada transformasi ke arah kecemerlangan. - Bernama

Utusan Malaysia Online: 12 Jun 2010
====================
Kerajaan wujud 10,000 jawatan baru tampung keperluan sekolah di seluruh negara

ALOR SETAR: Kerajaan akan mewujudkan 10,000 perjawatan baru mengisi kekosongan guru J-QAF selaras usaha menambah guru pendidikan Islam di sekolah seluruh negara seperti dirangka dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata perjawatan baru itu sebagai tambahan kepada 14,000 guru J-QAF sedia ada di seluruh negara bagi menampung keperluan sekolah. Beliau berkata, usaha menambah sumber manusia membabitkan guru pendidikan agama akan lebih mudah kerana RMKe-10 membuka peluang kepada lulusan Sijil Menengah Agama atau Sijil Tinggi Agama menjadi guru pendidikan Islam dan J-Qaf.
“Justeru, penambahan 10,000 jawatan ini dijangka dapat merealisasikan hasrat menempatkan guru J-QAF di setiap sekolah rendah yang mempunyai pelajar Melayu termasuk di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

“Ketika ini, jumlah guru J-QAF tidak cukup untuk menampung keperluan sekolah dan kita berharap penambahan guru dapat membantu usaha melahirkan modal insan berkualiti,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Kebangsaan Guru Agama Malaysia Barat Cawangan Kedah, di sini semalam.

Sementara itu, Jamil Khir berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dijangka menyelaras perjawatan guru agama di jabatan dan majlis agama menerusi pelan dirangka dalam RMKe -10.

“Selain itu, kita jangka lebih banyak premis dan bangunan jabatan serta majlis agama dibina dalam rancangan lima tahun ini, manakala sistem pengurusan dan penyelenggaraan masjid pula akan dipergiatkan,” katanya.
Jamil Khir berkata, RMKe-10 memberi manfaat secara menyeluruh dengan menggabungkan pembangunan fizikal dan modal insan menerusi penyediaan program dan perancangan konsisten.

0 Comments:

Post a Comment