Tuesday, August 7, 2012

05 Ogos 2012, Ahad

http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20120805/dn_17/11000-lagi-guru-j-Qaf-diperlukan
Oleh SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 4 Ogos – Seramai kira-kira 11,000 guru bagi mengajar subjek Jawi, al- Quran, Arab dan Fardhu Ain (j-Qaf) masih diperlukan dalam memastikan semua sekolah rendah di seluruh negara mempunyai pembelajaran itu.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (gambar) berkata, masalah kekurangan guru itu turut menyukarkan pembelajaran tersebut diwujudkan di peringkat sekolah menengah pada tahun depan.
Katanya, pembelajaran j-Qaf juga sukar diperluaskan disebabkan kurangnya guru berijazah untuk mengajar j-Qaf serta masalah permohonan perjawatan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang masih tidak diluluskan sehingga kini.
“Oleh itu, kita minta supaya JPA mempercepatkan kelulusan perjawatan bagi guru j-Qaf yang sudah dimohon Kementerian Pelajaran bagi membolehkan kekurangan diisi segera.
“Kita memberi tumpuan untuk memenuhi permintaan guru j-Qaf di sekolah rendah sebelum melaksanakan sepenuhnya di sekolah menengah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis berbuka puasa di Sekolah Rendah Islam Cahaya Ummi, Kampung Batu Muda, di sini hari ini.
Pada majlis itu, Mohd. Puad turut menyampaikan sumbangan kepada 60 anak yatim dan golongan asnaf.
Pelaksanaan j-Qaf di 4,747 sekolah rendah sejak 2005 itu berkesan apabila 94 peratus murid berjaya menguasai empat kemahiran iaitu Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan fardu ain.
Pada masa ini, kira-kira 13,000 guru j-QAF sedang berkhidmat di lebih 4,700 sekolah rendah di seluruh negara.

;;